JANUARI 2022

Siap Siaga Hadapi Banjir, Sarawak Buka 625 Pusat Pemindahan Sementara


KUCHING: Sarawak membuka 625 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir susulan negara kini berada dalam fasa Monsun Timur Laut.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, PPS tersebut mampu menampung seramai 185,000 mangsa dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Jika memerlukan, jumlah PPS itu akan ditambah," katanya pada sidang media hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, 

satu depo simpanan besar akan diwujudkan di Kota Samarahan bagi menyimpan barang keperluan mangsa.

Sebagai tambahan katanya, JPBNS turut mewujudkan tiga depo mini masing-masing di Kuching, Samarahan dan Miri.

“Kita juga bekerjasama dengan lapan agensi membabitkan seramai 6,705 pegawai dan anggota dalam keadaaan siap siaga,” katanya.

Dari segi logistik pula,  sebanyak 286 bot, 115 lori, 247 kenderaan pancuan empat roda, tiga helikopter iaitu dua milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dan kenderaan amfibia diguna pakai.

Pasukan tindakan pantas komuniti katanya, turut diwujudkan bagi memerhati serta mengawal keadaan sementara menunggu agensi atau bantuan tiba ketika berlakunya bencana banjir di kawasan perkampungan yang terletak jauh dari bandar.

Beliau turut mengingatkan orang ramai terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

Sumber dari : Jiwa Bakti